“Aii.. menung nampak? Kenapa?” tanya Bakar, kawan baik saya yang turut sama menjadi
penggali kubur di Bakri, Muar, Johor.
Tak ada apa-apa. Saja tengok kain ni, dah kotor sikit kena tanah,” saya berdalih, cuba menyembunyikan perkara yang berasak-asak datang ke kepala.
“Mari pergi kat pondok… mandur nak jumpa. Dia nak cakap fasal kerja, gaji, overtime.
Pak Dolah, kawan-kawan lain dah pergi dah,” tambah Bakar sambil memikul cangkul dan
botol airnya.
“Pergilah dulu, nanti aku datang,” balas saya lantas duduk termenung.
Sepeninggalan Bakar, saya duduk di pinggir kubur Abang Hamid. Saya termenung. Ada
satu perkara yang sedang menyucuk-nyucuk fikiran saya. Sebenarnya sudah lama ia
bermain-main di benak tapi sekarang ini makin mendesak.Orang ramai sudah balik,
Munkar dan Nakir sudah datangkah menyoal Abang Hamid, hati saya bertanya. Kata orang,
selepas tujuh langkah kita tinggalkan pusara, maka akan datanglah dua malaikat itu untuk
menyoal simati. Kalau bagus amalannya semasa hidup, berbahagialah. Tapi kalau
bergelumang dengan kemungkaran, bersiap sedialah…Saya teringat cerita kononnya ada
orang yang menekap telinga ke kubur dan dengar bunyi dentuman tapak kaki di dalam.
Konon cerita, lepas itu terdengar pula bunyi hentaman dan si mati menjerit-jerit.
Eee… seramnya. Macam mana agak-nya rupa Munkar dan Nakir. Besarkah badannya,
garangkah rupanya atau berjubah dan maniskah wajahnya? Kalau dibelasahnya kita, tentu
sakitnya tak terperi. Kalau lipan, jengking datang habislah kita disepit. Nak lari tak boleh,
nak mengadu tak boleh, kita seoranglah menanggung sakit pedih. Astaghfirullahal azim…
Saya masih lagi duduk melangut di pinggir kubur Abang Hamid. Jiwa muda saya makin
menggaru-garu. Kian lama saya termenung kian ia mengganas dan mengacau fikiran.
Pergi… pergi sekarang! Johar, masa inilah kalau nak cuba. Kawan-kawan dah tak ada,
cepat, ia berbisik di telinga saya.
Jari-jemari saya bergerak-gerak. Lutut dah mula menggeletar manakala kepala rasa
berpusing. Saya beristighfar beberapa kali mententeramkan jiwa yang bergelora, namun
bisikan itu makin kuat berkumandang di telinga.
Cepat, cepat, cepat! Inilah masanya. Johar, apa engkau tunggu lagi?’ Kan engkau nak
tau sangat, jangan tercegat lagi. Kau takut? Allah, bukannya kena tangkap, bukannya
boleh mati…
Jadi bisu? Sakit, lepas tu mereng sampai mati? Jangan pedulilah, tu cerita orang saja.
Entah ya entah tidak. Engkau orang muda, kuat semangat, apa nak takut. Cepat Johar, cepat, cepaaaaat!
Dimulai lafaz bismillah dan selawat kepada Nabi, saya terus bangun dan terjun ke dalam
kubur di sebelah pusara Abang Hamid. Ia baru saja digali sebab di sini, kami biasanya
sudah gali lebih kurang 10 kubur sebagai persediaan.. Maklumlah, Bakri ni kawasan besar,
kalau ada banyak kematian sekali gus, taklah timbul masalah.
Di dalam lahad saya berbaring dan meratib, lailahaillallah,
lailahaillallah, lailahaillallah…
Saya pejamkan mata, menggigil tengok dinding lahad di depan mata. Bau tanah dan sempitnya
ruang di dalam lahad itu menyebabkan saya betul-betul gemuruh.
Munkar, Nakir, ular, jengking, api tinggi menggulung, nanah, darah dan segala seksaan yang
pernah didengar daripada guru-guru agama terbayang di depan mata.
Saya juga teringat pada alunan suara seorang wanita membaca al-Quran dari salah sebuah
kubur di sini yang saya dengar beberapa bulan lalu. Jeritan, tangisan dan raungan dari
kubur-kubur lain yang didengar pada malam-malam selepas itu juga pantas menyerbu fikiran.
Suara-suara aneh dari kubur itulah yang sebenarnya menggaru-garu jiwa saya untuk
menyaksikan sendiri keadaan di alam barzakh. Bunyinya memang gila, mana boleh manusia
hidup menycberangi ke alam barzakh, tapi saya ingin juga merasainya.
Lailahaillallah..Lailahaillallah..Lailahaillallah..
Saya terus meratib dan meratib hinggalah tiba-tiba dunia menjadi kelam dan sedetik kemudian bergema satu bunyi yang amat menakutkan.
GGRUUMMM… PPPRRAAAPPP!!
Tanah di kubur Abang Hamid tiba-tiba bergerak. Setelah itu satu lagi sisi tanah kuburnya
berganjak diiringi bunyi yang amat menggerunkan.
“Ya Allaaaaahhh… apa yang berlaku ini?” saya menggeletar kerana bunyi itu datang dari
dua arah dan saling rapat merapati. Air mata seperti hendak mengalir.
GGGRRRRUUUMMM…
Tanah di kubur Abang Hamid bergerak lagi saling himpit menghimpit. Saya menggigil
mendengar bunyi itu yang dentumannya lebih dahsyat daripada tanah runtuh. Saya cuba
menekup telinga kerana tidak tertahan dengan bunyi yang bingit itu, tapi tangan saya tiba-tiba
kaku.
Ingin saja saya melompat dari kubur, pun demikian kaki bagai dipaku ke tanah, tak dapat
bergerak akibat terlalu terkejut.
ARGGHKKK… ERRRKKKKKKK! ! !
Terdengar pula suara seorang lelaki mengerang. Suaranya laksana dia sedang menahan
kesakitan yang amat sangat tapi seperti tersekat di kerongkong. Nafas saya sudah tidak
tentu arah, takut yang amat sangat.
AARRKKK…. UUURRRKKGGH!!!
Saya menggigil apabila dia mengerang-ngerang lagi. Perasaan simpati tak dapat dibendung.
Ingin rasanya saya menarik lelaki itu keluar daripada terus dihimpit, tapi di sebelah saya
cuma lapisan tanah yang tidak mampu ditembusi.
Saya masih lagi terbaring dengan nafas turun naik apabila tiba-tiba…
PPPR-RRAAPPPPP!!!… bunyi papan patah berderai.
PRRAAKK… TTAAPP… PRRAAPP!
Kepingan demi kepingan papan tersebut patah hingga hancur berkecai lalu disudahi
dengan suara lelaki tersebut mengeruh. Serentak itu, kedengaran pula tulang-temulang patah!
Air mata saya meleleh. Di ketika ini hati saya berkata, mungkin inilah yang Nabi maksudkan
bahawa tanah dan dinding kubur akan menghimpit tubuh orang-orang yang mengkufuri Allah
hingga berselisih tulang selangkanya. Aduh, tidak terbayang peri sakitnya lelaki yang sedang mengerang itu. Jantung saya bagai hendak tercabut dan darah terasa kering apabila mendengar
dia mengerang-ngerang dan tulang-temulangnya patah berderap-derap.
Di saat saya terbungkam dengan apa yang berlaku, tiba-tiba satu deruan angin yang maha
dahsyat datang menerpa. Desingannya menyakitkan telinga.
Seiring dengan ribut taufan itu juga, hadir sesuatu berwarna hitam seperti asap, makin lama
makin membesar lalu membentuk lembaga hitam yang teramat besar. Di tangannya
tergenggam sebatang besi yang sedang membara, merah menyala.
Tiba-tiba lembaga itu menghayun besi tersebut. Pantas saya menepis, namun sebaik besi itu menyentuh lengan, saya menjerit kesakitan. Aduh, panasnya menyebabkan kulit tangan saya
ini bagai tersiat dan dagingnya masak.
“ARGGGHHHH” Jangan pukul aku lagiiiii!!!”, saya meraung apabila lembaga itu memukul
kaki saya.
Saya cuba mengelak, tapi pukulan itu tetap singgah ke sasaran. Bagai hendak tercabut anak
tekak saya menjerit kerana kehangatan besi itu membakar daging paha saya.
“Arrgghhh… sakit, sakiiittt!!”, saya meraung-raung, tapi lembaga hitam besar hingga sayup
mata memandang itu terus menghayunkan besi panasnya ke kepala, kaki, tangan, badan dan
perut saya.
Dalam pada itu, tanah di kubur sebelah terus-terusan bergerak himpit menghimpit. Bumi
tempat saya berpijak bergegar hebat laksana dilanda gempa.
Suara lelaki mengerang dan tulang-temulangnya patah berderap bagai dahan sekah, tetap
kedengaran. Dalam hati saya meraung, matilah aku kejap lagi, patahlah tulang aku, renyuklah
badan aku dibelasah dengan besi panas.
Saya menjerit, menepis, mengelak hinggalah tiba-tiba saya terasa sesuatu yang amat sejuk menyimbah ke tubuh saya. Serentak itu lembaga hitam hilang entah ke mana dan bunyi bumi bergegar serta lelaki mengerang lenyap serta-merta. Suasana terasa hening.
“Johar… Johar!!”, sayup-sayup nama saya dipanggil.
Dengan susah payah, saya membuka mata. Tapi saya tidak larat, badan terlalu letih.
Wajah seseorang berbalam-balam di mata.
“Johar… bangun, bangun!”, nama saya dipanggil lagi, badan digoncang-goncang.
Saya buka mata sedikit. Ooo… rupa-rupanya Bakar. Bersama-sama Pak Dollah, mereka
mengangkat saya keluar dari kubur.
Selepas diberi air, badan dikipas, barulah saya segar semula. Bakar beritahu, selepas
menunggu lama di pondok, dia dan Pak Dollah serta mandur mencari saya untuk membayar
wang kerja lebih masa. Lama mencari, akhirnya dia jumpa saya di dalam kubur sedang
bersilat seorang diri.
“Engkau menepis sana , mengelak sini. Habis tanah kubur tu engkau tumbuk. Aku ambil
air. Aku simbahlah”, kata Bakar sambil menunjukkan baldi yang digunakannya lalu
disambut gelak tawa kawan-kawan.
Saya hanya tersenyum tawar. Tak terdaya saya hendak ceritakan apa yang telah berlaku
sebentar tadi, bimbang mereka tidak percaya.
Selepas kejadian itu saya terlantar selama beberapa bulan akibat badan penuh dengan
lebam-lebam. Mungkin lebam akibat menumbuk dan menendang tanah, mungkin juga akibat pukulan besi panas itu. Saya juga dibawa berjumpa bomoh untuk memulihkan semangat.
Keluarga dan kawan-kawan menggeleng kepala dengar cerita saya. Mereka berebut-rebut
menyuruh saya menceritakan pengalaman menakutkan itu. Ada yang insaf, ada juga yang mengatakan semua itu karut, mainan syaitan, mimpi dan igauan semata-mata.
Lantaklah apa kata mereka, tapi saya puas hati. Akhirnya saya telah saksikan sendiri seksaan
di dalam kubur. Sama ada apa yang dilihat itu adalah keadaan yang sebenarnya berlaku
di alam barzakh atau hanya mimpi semata-mata akibat terlelap semasa meratib, itu saya
tidak kisah.
No comments:
Post a Comment